Wednesday, July 16, 2008

Anwar vs Shabery

Salam,

Kemeriahan program Debat Khas semalam umpama seperti kemeriahan debat calon presiden US pulak. Itulah yang dapat kita lihat dahulu. Terdetik dalam hati ini "kan bagus kalau debat macam ini dilaksanakan keti PRU 12 baru-baru ini"....

Terdapat banyak komen dari pelbagai pihak sempena debat di antara DS Anwar dengan Dato Shabery di kaca TV semalam...bermula dari sebelum debat sehinggalah ke hari ini...masih segar di ingatan masing2 bagaimana hujah2 yang diberi oleh kedua-dua pendebat dalam membincangkan isu kenaikan harga minyak.

Saya masih ingat sebelum debat bermula, pelbagai andaian telah dibuat oleh pelbagai pihak tentang apa yang akan dikemukakan oleh DS Anwar dalam debat. Seperti biasa ramai yang mengandaikan DS Anwar akan menggunakan isu dana Petronas untuk menurunkan harga minyak. Namun apa yang berlaku di permulaan debat sungguh mengejutkan apabila DS Anwar mengeluarkan point yang cukup bernas di mana isu IPP di keluarkan. Mungkin ramai yang sudah lupa akan isu ini. Tidak timbul sedikit pun dari mulut DS Anwar untuk mempergunakan Petronas dalam isu kenaikan harga minyak ini. Apa yang ditekankan adalah pengurusan kerajaan itu sendiri iaitu BN. Di sini lah kita dapat lihat kematangan DS Anwar, kena dengan status nya sebagai "otai" politik.

Bagaimana pula dengan Shabery?bagi saya umpama langit dengan bumi. Tidak padan dengan statusnya sebagai Menteri Penerangan atau masih kekal seperti dulu-dulu kementerian ini hanya sebagai Menteri TV...di suruh debat pasal isu minyak, dia debat pasal isu Anwar..sungguh memalukan & boleh dikatakan membuang masa sahaja. Sebagai rakyat, kita mahu dengar dari kerajaan kalau boleh apa yang akan dibuat untuk menurunkan harga minyak & memulihkan kembali ekonomi negara kita...Bukannya kata2 biasa yang hanya dikeluarkan untuk tujuan membodek BOS!...langsung hujahnya yang lari tajuk & tidak memberikan apa2 manfaat kepada rakyat...Tidak kurang juga dengan penyokong2 nya yang hadir hanya tahu menepuk tangan apabila Shabery menyerang peribadi DS Anwar...macam budak2 kecik bergaduh!

Namun di sebalik kesedihan melihat gelagat Shabery semalam, terdapat sedikit kepuasan di hati ini apabila DS Anwar dapat juga menyampaikan info2 yang banyak lagi berguna untuk masyarakat serta memberikan lebih banyak keyakinan kepada rakyat akan kemampuan PR untuk memerintah Malaysia...Paling kurang dalam debat semalam, Ds Anwar memberikan komitment yang jitu untuk menurunkan harga minyak demi memperjuangkan nasib rakyat Malaysia dengan hujah2 yang begitu praktikal & effisen. Saya yakin akan ada lagi banyak kupasan2 dari pihak tertentu terutama dalam membongkar isu IPP yang sememangnya sudah lama dilupakan atau digelapkan dari mata rakyat.

Semoga PR akan terus komited untuk berjuang memperjuangkan nasib rakyat yang sudah lama menderita di atas kezaliman UMNO & BN.

Tuesday, July 15, 2008

Tip Keluarga Bahagia 3

Salam bahagia,

Sudah kenal "cinta" anda?kalau sudah kenal persoalan yang timbul adalah bagaimana hendak meneruskan perhubungan tersebut...Hari ini suka saya berkongsi mengenai tip keluarga bahagia yang ke-3 iaitu "keikhlasan".

Seperti mana saranan Rasulullah swt dalam hadith baginda yang mana bermaksud "segala amal itu bermula dengan niat". Di sini dapat dinyatakan bahawa setiap niat yang terbit daripada hati nurani kita adalah amat penting. Begitu juga di dalam perhubungan "cinta" kita yang mana matlamatnya adalah untuk membina keluarga bahagia. Justeru niat yang ikhlas atau dengan kata lain "keikhlasan" yang murni dalam membina keluarga bahagia teramat penting.

Mungkin selama ini kita jarang terfikir tentang apakah niat sebenar kita dalam membina keluarga terutama semasa fasa sebelum bernikah. Tidak salah jika saya katakan kebanyakan kita terlalu memikirkan soal duniawi iaitu material ataupun nafsu syahwat. sesetengah golongan terlalu sempit dalam memikirkan soal kahwin. Ada yang hendak glamour dan kaya raya bila sudah berkahwin. Ini merupakan salah satu faktor mengapa sesetengah perkahwinan tidak tahan lama justeru menjurus kepada keruntuhan rumahtangga.

Oleh yang demikian, tanamlah niat yang baik untuk membina rumahtangga. Niat untuk membina keluarga yang bahagia dan diredhai oleh Allah. Apabila kita sentiasa ikhlas dalam membina keluarga, nescaya Allah akan sentiasa memberi rahmahNya dan sentiasa membuka jalan bagi setiap permasalahan yang timbul. Sesungguhnya setiap perkahwinan itu adalah Mawaddah.

Semoga ketemu kembali. Wassalam

Monday, July 14, 2008

Selepas 100 hari pemerintahan....

Assalamualaikum,

Kini boleh dikatakan heboh di media massa memperkatakan tentang 100 hari pemerintahan terutama kepada pemerintahan negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Perak, Selangor & P.Pinang.

Namun begitu sedih kita katakan kerana kebanyakan media sekarang lebih mengambil pendekatan sebelah pihak sahaja apabila hanya memaparkan kelemahan & kekurangan negeri-negeri ini sahaja. Bagi saya etika seorang pemberita atau agensi berita telah tercalar ketika ini. Rakyat tidak diberikan ruang untuk mendapat berita yang sebenar agar dapat dinilai dengan waras.

Walaubagaimanapun melalui berita-berita yang telah disampaikan dapat kita lihat bagaimana kerajaan-kerajaan negeri baru di bawah PR ini begitu bersungguh-sungguh & komited untuk memajukan negeri masing-masing demi kebaikan rakyat. Kita dapat lihat bagaimana negeri Selangor & Perak dapat memberikan air percuma kepada rakyat. P.Pinang pula berjaya menarik pelaburan asing lebih RM1.2 Billion dalam masa 100 hari ini. Manakala tidak ketinggalan negeri Kedah yang tidak berapa kaya, dapat juga membuat perubahan dari segi pentadbiran tanah & cukai negeri tersebut. Ini baru sahaja 100 hari. Mungkin perkembangan yang lebih progressif akan dapat dilihat dalam masa setahun & seterusnya.

Namun begitu menjadi kehairanan kepada saya apabila tiada kedengaran berita daripada negeri-negeri BN selepas 100 hari pemerintahan terutama yang melibatkan Menteri Besar yang baru seperti Terengganu & Perlis. Apa sudah jadi? Malah kalau dilihat dari kontek pusat yang mana diperintah oleh BN, dalam masa 100 hari ini, hadiah yang diberi kepada rakyat adalah kenaikan harga petrol & Diesel sebanyak 41%....bukan sekadar itu sahaja, terdapat juga kenaikan harga makanan yang amat ketara seperti beras, ayam, tepung & lain-lain lagi. Apa lagi nak dikatakan...saya hanya mampu mengeluh sendirian...Cukup tinggi harga yang diletakkan kepada pengundi-pengundi BN pada pilihanraya ke-12 baru-baru ini...

Mungkin bermula hari ini kita boleh berfikir sekiranya kerajaan Bn sekarang masih tidak berubah, apa yang akan jadi 10 tahun akan datang...bukannya untuk kita tetapi untuk anak-anak kita...
fikir-fikirkan lah...........

Thursday, July 10, 2008

PROTES atau KENA PROTES?

Walaupun telah berlalu 3 hari Himpunan Protes, namun masih hangat diperkatakan terutama di arena maya tentang peristiwa PROTES yang di PROTES. Pening juga ni...
Siapa sangka program anjuran Parti Pakatan Rakyat ini yang pada asalnya ingin memberi mesej kepada Kerajaan BN bagi membantah kenaikan harga minyak, bertukar menjadi membantah acara program Protes.

Pada dasarnya Himpunan Protes ini mempunyai satu matlamat yang sama & jitu mengenai isu semasa iaitu kenaikan harga minyak, namun berlaku sedikit pertembungan dalam acara-acara yang disediakan yang mana tidak dapat diterima sama sekali terutama oleh aktivis Islam yang dipelopori PAS. Sememangnya semua sudah sedia maklum tentang prinsip & dasar PAS yang ingin memperjuangkan Islam yang hakiki. Dalam peristiwa baru-baru ini dapat dilihat dengan jelas, terang lagi bersuluh bagaimana terdapat bertembungan yang ketara diantara prisip perjuangan Islam dengan prinsip perjuangan politik nasionalis. Di sini menampakkan banyak lagi yang perlu dipelajari oleh semua parti komponen PR dalam memacu agenda perjuangan bagi menjadi Pakatan kedua terbesar di Malaysia!

Namun Allah tidak menjadikan semua perkara yang buruk itu buruk. Kalau kita lihat dari segi hikmahnya terdapat pelbagai kebaikan malah lebih banyak daripada yang buruk tentang peristiwa hitam Protes baru-baru ini. Kita dapat lihat bagaimana parti-parti yang ada dalam PR ini mempunyai prinsip masing-masing yang teguh. Ini amat penting bagi menjamin survival parti bagi jangka masa yang panjang.

Selain itu, dapat kita lihat satu sikap yang harmoni dalam PR ini iaitu sikap saling tegur-menegur & sikap saling menerima teguran walaupun dari parti yang lain. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila Pemuda PAS tanpa rasa takut & segan untuk menegur penganjur Protes ini yang mana Pengarahnya juga merupakan pimpinan PAS serta Saudara Hisyamudin Rais daripada PKR. Wah, ini baru dikatakan demokrasi!Ia sangat-sangat berbeza di dalam BN yang mana untuk menegur pimpinan atau parti komponen lain merupakan pantang larang yang amat ditakuti.

Hikmah dalam peristiwa hitam ini tidak setakat itu sahaja. Dapat dilihat juga bagaimana begitu syahdu apabila saudara Hishamudin memohon maaf kepada semua hadirin sejurus sahaja peristiwa yang tidak diingini itu sambil menitiskan air mata....dia dengan penuh rasa tanggungjawab mengakui kesilapan beliau atas kejadian itu. Tidak cukup dengan itu, Dr Hatta sebagai pengarah program dengan rasa rendah diri memohon kemaafan secara terbuka di depan lobi parlimen di atas kekalutan yang berlaku pada majlis tersebut. Inilah kebenaran yang jelas tanpa dibuat-buat oleh PR. Tidak perlu diajar, tidak perlu disuruh & dipaksa untuk berbuat demikian. Sememangnya PR sudah mempunyai pemimpin & ahli-ahli yang sebegitu sifatnya.

Semoga peristiwa hitam baru-baru ini di himpunan Protes akan lebih mewarnai senario politik negara serta mematangkan lagi sekalian parti komponen di dalam PR bagi memacu perjuangan membela nasib rakyat yang selama ini telah lama diperbodohkan dek BN.

Friday, July 4, 2008

PROTES! PROTES! PROTES!

Assalamualaikum,

Heboh di semua media tempatan tentang karnival protes yang dijadualkan berlangsung pada 6 Julai, hari Ahad ini yang dirancang berlangsung di Petaling Jaya. Ini merupakan satu program anjuran Pakatan Rakyat demi membela nasib rakyat khususnya bagi memprotes kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. Namun, pelbagai andaian negatif telah digembar- gemburkan oleh media tempatan bagi mengagalkan program ini.

Saya pun pelik & hairan kerajaan & media-media di Malaysia ini. Program ini adalah suara rakyat. Ia menggambarkan keperitan & kesusahan rakyat. Bukannya suka-suka. Nampak sangat kerajaan BN ni hanya buat sesuatu demi kepentingan politik mereka sahaja. Bole dikatakan ini sebagai "perjuangan Bacul".

Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan, kesusahan malah kritikan daripada rakyat. Ini kerana rakyat yang memilih mereka untuk menduduki kerusi kerajaan tersebut.

Terdapat 2 kemungkinan. Samada memang kerajaan sekarang terlalu "cerdik" sehingga dapat exploitasikan rakyat atau rakyat sekarang yang terlalu "bodoh" memilih kerajaan yang tak berapa cerdik ni.

PROTES! PROTES! PROTES!

Friday, June 27, 2008

Tip Keluarga Bahagia 2

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, bertemu kembali di hari Jumaat yang mulia ini. Masih ingat tulisan saya yang lalu berkenaan "Tip Keluarga Bahagia 1"? Mungkin telah ada yang mempraktikkan dalam perhubungan mereka terutama muda mudi yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam alam percintaan.

Bagi Tip ke-2 kali ini, masih lagi saya tujukan kepada golongan fasa sebelum berkahwin. Jika Tip pertama saya bercakap mengenai "Cinta", di dalam Tip kedua ingin saya tulis mengenai "Kenal"

Tip ke-2: "Kenali pasangan anda"

Saya yakin pasti ramai di antara sahabat2 fikir akan kontradiksi di antara kedua-dua tip ini. InsyaAllah akan saya perjelaskan lagi berhubung tip ke-2 ini.

Pada pendapat saya, "bercinta" bukanlah sesuatu syarat wajib untuk mengenali pasangan kita. Terdapat banyak cara untuk mengenali pasangan kita tanpa perlu bercinta. Antaranya adalah:

1)Mengenali melalui ibubapa. Dalam kontek ini, kita perlu berusaha & berani untuk bertemu dengan ibubapa pasangan kita. Ia bukan sahaja bertujuan untuk mencari informasi secara terus malah sebaliknya. Perangai seseorang akan tergambar melalui sifat & cara hidup keluarga mereka. Bak kata pepatah melayu, "kuah manakan tumpah kalau tidak ke nasi". Selain itu, kita juga dapat menilai dari kontek diri sendiri samada akan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan keluarga pasangan.

2) Mengenali melalui kawan-kawan pasangan. Sudah menjadi fitrah manusia terutama wanita, untuk mencari kawan atau sahabat baik yang "sebulu" dengannya. Ini amatlah penting bagi mereka kerana sahabat baiklah yang akan menjadi teman dan tempat mengadu dimasa susah ataupun senang. Oleh itu, kalau dikirakan secara mudah, seseorang yang baik akan berjumpa dengan sahabat yang baik. Orang kaki disco akan berkawan dengan kaki disco. Orang kaki masjid pula tentunya akan berkawan dengan kaki masjid.

Daripada kedua-dua cara di atas boleh dikatakan secara umum bahawa persekitaran akan membentuk keperibadian seseorang itu.

Oleh itu, sudah kenal pasangan anda? InsyaAllah boleh cuba cara-cara ini. Nasihat saya kenali dulu pasangan anda sebelum membuat apa-apa keputusan yang muktamad.
Selamat mencuba.

Wassalam

Thursday, June 26, 2008

Usrah 1: Pengorbanan vs Sumbangan

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, semalam saya diberikan kesempatan oleh Allah untuk menghadiri satu majlis ilmu. Ustaz telah memberikan sedikit ilmu berkenaan tajuk pra syarat kemenangan Islam. Saya tidak fikir untuk menulis semua nya namun dalam majlis ilmu tersebut saya tertarik dengan salah satu point, yang mana mungkin mempunyai banyak hubung kait dengan kehidupan seharian kita sebagai umat Islam. Point tersebut adalah berkenaan berbezaan antara "pengorbanan & sumbangan"

Ramai di antara kita semua baik pejuang Islam mahupun umat Islam secara umum, memahami kedua-dua frasa ini. Malah ramai antara kita yang mahu mencapai martabat sebagai orang yang berkorban untuk Islam. Namun pada hakikatnya mungkin ramai diantara kita yang menganggap mereka telah berkorban harta, tenaga & masa untuk Islam, tetapi sebenarnya berlaku sebaliknya.

Saya ingin lontarkan persoalan kepada semua sahabat, berapa ringgit kah yang kita selalu terfikir untuk sedekahkan duit kita di tabung masjid pada setiap hari jumaat?saya percaya kebanyakan di antara kita terlintas untuk menghulurkan rm1,rm2 atau paling banyak pun rm5. Bukan anda sahaja malah saya pun rasa begitu. Bagi saya martabat sedekah ini hanya sebagai sumbangan. Bagaimana pula hendak dikatakan pengorbanan? Saya ingin mengajak kita semua mengingati sebuah kisah pada zaman rasulullah saw, perlumbaan antara dua sahabat iaitu Saidina Umar & Saidina Abu Bakar. Kedua-dua sahabat ini sering bertanding untuk memberikan infaq yang paling banyak kepada Islam, sehingga satu ketika apabila sampai seruan jihad, Umar memberikan separuh daripada hartanya. Namun pada masa yang sama Abu Bakar memberi seluruh harta bendanya ke jalan Allah. Apabila ditanya apa yang tinggal, lantas Abu Bakar menjawab hanya Allah & Rasulnya yang tinggal untuk dirinya & keluarga.

Begitulah sebenarnya keperibadian seseorang yang mencapai martabat berkorban. Secara umum dapat diertikan pengorbanan itu merupakan pemberian sesuatu yang sangat bernilai & bererti untuk diri seseorang tidak kira harta, tenaga, masa mahupun nyawa. Oleh itu, cuba kita tanya pada diri sendiri adakah kita sudah berkorban untuk Islam? tepuk dada, tanyalah iman.

Akhir kata, marilah sama-sama kita renung firman Allah di dalam surah As-Saff ayat 10 - 12, dimana Allah telah berjanji akan ganjaran yang besar terhadap Mukmin yang sanggup berkorban di jalanNya.

Firman Allah bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?" ayat 10
"Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat sebenar)" ayat 11.
"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn'. Itulah kemenangan yang besar" ayat 12

Wassalam