Thursday, June 26, 2008

Usrah 1: Pengorbanan vs Sumbangan

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, semalam saya diberikan kesempatan oleh Allah untuk menghadiri satu majlis ilmu. Ustaz telah memberikan sedikit ilmu berkenaan tajuk pra syarat kemenangan Islam. Saya tidak fikir untuk menulis semua nya namun dalam majlis ilmu tersebut saya tertarik dengan salah satu point, yang mana mungkin mempunyai banyak hubung kait dengan kehidupan seharian kita sebagai umat Islam. Point tersebut adalah berkenaan berbezaan antara "pengorbanan & sumbangan"

Ramai di antara kita semua baik pejuang Islam mahupun umat Islam secara umum, memahami kedua-dua frasa ini. Malah ramai antara kita yang mahu mencapai martabat sebagai orang yang berkorban untuk Islam. Namun pada hakikatnya mungkin ramai diantara kita yang menganggap mereka telah berkorban harta, tenaga & masa untuk Islam, tetapi sebenarnya berlaku sebaliknya.

Saya ingin lontarkan persoalan kepada semua sahabat, berapa ringgit kah yang kita selalu terfikir untuk sedekahkan duit kita di tabung masjid pada setiap hari jumaat?saya percaya kebanyakan di antara kita terlintas untuk menghulurkan rm1,rm2 atau paling banyak pun rm5. Bukan anda sahaja malah saya pun rasa begitu. Bagi saya martabat sedekah ini hanya sebagai sumbangan. Bagaimana pula hendak dikatakan pengorbanan? Saya ingin mengajak kita semua mengingati sebuah kisah pada zaman rasulullah saw, perlumbaan antara dua sahabat iaitu Saidina Umar & Saidina Abu Bakar. Kedua-dua sahabat ini sering bertanding untuk memberikan infaq yang paling banyak kepada Islam, sehingga satu ketika apabila sampai seruan jihad, Umar memberikan separuh daripada hartanya. Namun pada masa yang sama Abu Bakar memberi seluruh harta bendanya ke jalan Allah. Apabila ditanya apa yang tinggal, lantas Abu Bakar menjawab hanya Allah & Rasulnya yang tinggal untuk dirinya & keluarga.

Begitulah sebenarnya keperibadian seseorang yang mencapai martabat berkorban. Secara umum dapat diertikan pengorbanan itu merupakan pemberian sesuatu yang sangat bernilai & bererti untuk diri seseorang tidak kira harta, tenaga, masa mahupun nyawa. Oleh itu, cuba kita tanya pada diri sendiri adakah kita sudah berkorban untuk Islam? tepuk dada, tanyalah iman.

Akhir kata, marilah sama-sama kita renung firman Allah di dalam surah As-Saff ayat 10 - 12, dimana Allah telah berjanji akan ganjaran yang besar terhadap Mukmin yang sanggup berkorban di jalanNya.

Firman Allah bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?" ayat 10
"Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat sebenar)" ayat 11.
"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn'. Itulah kemenangan yang besar" ayat 12

Wassalam

No comments: